Petisyen bebaskan pemandu wanita dapat lebih 400,000 tandatangan

Petisyen desak pemandu wanita nahas basikal lajak dibebaskan dapat lebih 400,000 tandatangan

TANGKAP layar petisyen meminta Sam Ke Ting dibebaskan daripada hukuman penjara enam tahun ekoran kesalahan yang didakwa memandu secara melulu di bandar raya ini pada lima tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu petisyen mendesak pembebasan Sam Ke Ting, 27, yang dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, semalam di laman Change.org telah mendapat sokongan daripada 430,454 orang setakat pukul 3.30 petang, hari ini.

Petisyen berkenaan diwujudkan setelah pemandu wanita itu dijatuhkan hukuman berkenaan ekoran nahas basikal lajak yang melibatkan lapan remaja yang menunggang basikal maut di bandar raya ini pada 18 Februari 2017.

Antara komen yang ditinggalkan bagi menyatakan sokongan kepada wanita berkenaan adalah hukuman yang dikenakan terlampau berat sedangkan wanita terbabit hanyalah mangsa keadaan.

“Wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit selain memakai tali pinggang keledar semasa memandu, itu bukti dia pemandu yang bertanggungjawab,” menurut salah satu komen yang ditinggalkan.

Selain itu, antara komen lain termasuklah keputusan mahkamah berkenaan tidak adil selain berharap ada pihak yang akan tampil untuk membantu wanita berkenaan.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun beserta denda RM6,000 kepada Ke Ting, yang mana jika gagal bayar akan dikenakan tambahan enam bulan penjara.

Selain itu, wanita berkenaan juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman kelak.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara berbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

“Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” hujahnya.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 10 Oktober tahun lalu yang mengekalkan keputusan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar; Fauzan Halmijan; Mohamad Azhar Amir; Muhammad Harith Iskandar Abdullah; Muhammad Shahrul Nizam Marudin dan Haizad Kasrin yang berusia antara 13 hingga 16 tahun ketika kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya