Peter guna 'pintu belakang' rampas projek UMS - Pendakwa - Utusan Malaysia

Peter guna ‘pintu belakang’ rampas projek UMS – Pendakwa

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu, Datuk Peter Anthony menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mempengaruhi pihak lain agar projek penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberikan terus kepada syarikat miliknya, Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. (Asli Jati) atau secara perkongsian pintar.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, tertuduh sepatutnya melalui proses tender terbuka dan bersaing secara adil bersama-sama syarikat lain bagi mendapatkan projek itu, bukannya menggunakan pengaruh yang dimilikinya.

Hujah beliau, tindakan Peter mengambil kesempatan ‘merampas’ projek itu melalui aksesnya dengan Datuk Azlin Alias (Allahyarham) telah menutup terus ruang kepada pesaing-pesaing lain untuk merebutnya.

Pihak pendakwaan berhujah, bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu secara tidak jujur mengubah tajuk dalam surat sokongan UMS bertarikh 9 Jun 2014 (eksibit P2) walhal tertuduh mengetahui UMS tidak pernah memberikan kuasa kepadanya berbuat demikian.

Hujah beliau, kepala surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS yang pada asalnya kosong, ditinggalkan di pejabat tertuduh oleh Mohd. Shukur Mohd. Din (SP3), yang kemudiannya diserahkan semula oleh tertuduh kepadanya lengkap dengan kandungan.

SP3 dalam keterangannya berkata, beliau meninggalkan kepala surat Timbalan Naib Canselor UMS yang tidak mempunyai apa-apa kandungan di pejabat Peter dan menerimanya daripada tertuduh keesokannya.

Beliau berhujah, Peter dalam keterangannya berbohong apabila menyatakan P2 tidak pernah diserahkan kepada Azlin pada 13 Jun 2014 walhal cap penerimaan menunjukkan P2 diterima oleh Pejabat Setiausaha Perdana Menteri bertarikh 13 Jun 2014 dan disokong oleh keterangan dua saksi lain.

Hujahnya, perbuatan tertuduh menjadikan P2 sebagai satu dokumen yang lengkap dan menyerahkannya kepada Azlin bertujuan untuk menipu.

Hujahnya, tanpa tajuk dalam P2, surat sokongan itu menjadi tidak bermakna dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Kementerian Kewangan.

Pendakwaan berhujah, dua pegawai kanan UMS secara terang-terangan memberitahu, jika mereka mengetahui surat-surat tersebut sebenarnya menguntungkan syarikat Peter, mereka sudah tentu tidak menurunkan tandatangan masing-masing.

Keterangan di mahkamah menunjukkan projek itu bernilai melebihi RM26 juta dan tertuduh mengakui jika ia dianugerahkan kepada Asli Jati, syarikatnya akan mendapat sedikit keuntungan disebabkan program perkongsian pintar itu.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mensabitkan tertuduh di bawah kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah harus mengambil maklum bahawa jenayah kolar putih sebegini biasanya tidak dilakukan secara terang-terangan dan jarang disokong oleh keterangan terus (direct evidence) dan dalam membuktikan jenayah-jenayah seperti ini keterangan ikut keadaan adalah amat penting,” hujah Wan Shaharuddin.

Sementara itu, peguam S. Devanandan yang mewakili tertuduh berhujah, siasatan yang dilakukan oleh tiga pegawai penyiasat adalah tidak rapi dan tidak teratur.

Hujah pembelaan, tiada siasatan lanjut dijalankan oleh pegawai penyiasat untuk mengesahkan kehadiran tertuduh di Pejabat Perdana Menteri pada tarikh berkenaan sama ada melalui buku pelawat atau rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Peguam bela berhujah, tiada sebarang analisis forensik dijalankan terhadap ‘hard drive‘ komputer di pejabat tertuduh untuk mengesahkan bahawa P2 telah ditaip dalam komputer di pejabatnya dan draf itu telah diubahsuai dengan menambah tajuk.

Hujah Devanandan, keterangan pembelaan bahawa hanya terdapat satu komputer di pejabat Asli jati dan seorang kakitangan sahaja mempunyai kata laluan dan menggunakannya, menyangkal dakwaan bahawa P2 ditaip oleh tertuduh menggunakan komputer di pejabat itu.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 26 Mei ini bagi memutuskan sama ada Peter disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat TNC UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Asli Jati yang dimiliki oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya