LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempertontonkan secara langsung demonstrasi kaedah menyelamat menggunakan pesawat udara kepada penduduk di daerah Manjung khususnya pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut semalam.
Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM, latihan yang diadakan di padang bola sepak IKM Lumut itu berlangsung dengan berjaya yang juga sebahagian inisiatif program Minggu Keselamatan Penerbangan yang julung kalinya diadakan di luar Pangkalan TLDM.
“Sesi demonstrasi menyelamat mangsa nahas helikopter AS 555 SN Fennec menyaksikan helikopter Super Lynk MK 100 menggunakan kaedah mengangkat pengusung dan ‘double lift‘ untuk mengambil mangsa terus ke helikopter.
“Terdahulu nahas pesawat membabitkan helikopter AS 555 SN Fennec telah disimulasikan dengan helikopter tersebut mengalami kebakaran pada enjin dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di padang bola sepak IKM Lumut.
“Walau bagaimanapun, helikopter tersebut terhempas dan terbakar sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung yang bertindak atas maklumat daripada petugas Menara Kawalan di KD Rajawali, Markas Udara TLDM.
“Seterusnya, mangsa-mangsa nahas yang cedera parah dipindahkan menggunakan kaedah ‘winching‘ oleh helikopter Super Lynx MK 100 manakala mangsa yang mengalami kecederaan ringan dirawat oleh petugas perubatan BBP Seri Manjung,” jelas kenyataan itu di sini.
Menurut kenyataan itu, teknik ‘winching‘ dari helikopter merupakan kaedah yang diguna pakai untuk menyelamatkan mangsa terutamanya di lokasi yang tidak dapat diakses oleh pasukan penyelamat menggunakan kenderaan seperti bot, lori dan seumpamanya.
Jelasnya, helikopter akan berada pada ketinggian tertentu dan jarak yang selamat sebelum menurunkan sama ada ‘winchman‘ bersama pengusung, ‘helicopter strop‘ atau peralatan menyelamat bergantung kepada jenis operasi menyelamat yang dilakukan.
Menurut kenyataan itu, ia juga adalah kaedah sama yang dipraktikkan sewaktu penghantaran bantuan dan bekalan makanan kepada mangsa banjir yang terkandas seperti yang pernah berlaku sewaktu kejadian banjir besar di Pahang dan Kelantan.
“Demonstrasi anjuran Cawangan Udara TLDM (CUT) ini berjaya diterjemahkan menerusi kerjasama erat pelbagai agensi meliputi IKM Lumut, BBP Seri Manjung, BBP Sitiawan, Bomba TLDM, 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut serta Provos Tentera Laut (PROTELA) Lumut bersempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT)TLDM ke-88 yang akan disambut pada 27 April nanti,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN