Peruntukan cukup  bangunkan ANMS buat Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

Peruntukan cukup  bangunkan ANMS buat Keluarga Malaysia

TENGKU Zafrul Abdul Aziz (dua dari kiri) beramah mesra bersama seorang pesakit yang mendapat rawatan di NSCMH Dialysis Care Cawangan Kuala Pilah selepas merasmikan pusat hemodialisis tersebut di Kuala Pilah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kerajaan komited untuk menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) boleh dijayakan dan memberi manfaat  kepada rakyat menerusi konsep Keluarga Malaysia.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ANMS yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada November tahun lepas akan turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

“Ia terutamanya dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Antara strategi yang akan dijalankan melalui RMK-12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Sebagai jaminan kepada aspirasi berkenaan, kerajaan komited untuk menyediakan peruntukan mencukupi bagi memastikan ANMS dapat dijayakan,” kata beliau sewaktu berucap merasmikan Pusat Hemodialisis NSCMH Dialysis Care Cawangan Kuala Pilah di sini hari ini.

Turut  hadir, Pengerusi Pusat Perubatan NSCMH (NSCMH), Datuk Seri Lee Tian Hock dan Ketua Pegawai Eksekutif NSCMH Dialysis Care, Dr. N. Eswaran.

Pada majlis tersebut, Tengku Zafrul menyampaikan sumbangan 20 unit kerusi roda bagi memanfaatkan  pesakit di pusat hemodialisis berkenaan. 

Sementara itu, Tian Hock berkata, NSCMH Dialysis Care sehingga kini memberikan rawatan dialisis secara berterusan kepada  600 pesakit di kesemua 12 cawangan di seluruh Negeri Sembilan selain satu cawangan masing-masing di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sabah.

Pusat dialisis di Kuala Pilah diambil alih setelah ditutup pada tahun 2019 untuk memastikan ia dapat meneruskan perkhidmatan. Pada masa ini seramai 21 orang pesakit sedang meneruskan rawatan dengan kapasiti 10 buah mesin dan secara keseluruhannya sebanyak 3,500 rawatan setahun. 

“Ia telah mendapat respon yang baik daripada masyarakat Kuala Pilah dan kami bersedia untuk menambah kapasiti pusat di Kuala Pilah ini sekiranya dana mencukupi bagi memenuhi permintaan semasa,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN