CANBERRA: Sebuah stesen televisyen Australia, Network 10 digesa membuat permohonan maaf setelah salah sebuah rancangannya, The Project menyiarkan gurauan berbentuk perkauman dengan mengaitkan salah seorang anggota kumpulan terkenal, BTS dengan virus Covid-19.
Lapor portal News.com.au, desakan itu dibuat peminat kumpulan berkenaan menerusi kempen Stop Asian Hate yang kini menjadi trending di Twitter.
Kemarahan peminat BTS tercetus selepas pihak rancangan tersebut menyunting dan menayangkan video jenaka yang mengaitkan Tae-hyung dengan jangkitan Covid-19 ketika hadir ke majlis penganugerahan Grammy, baru-baru ini.
Kelab peminat Tae-hyung yang berpusat di Australia dalam pada itu juga mengarahkan ahli-ahlinya agar membuat aduan formal terhadap rancangan tersebut.
“Sebuah rancangan Australia menayangkan video lawak murahan yang biadap dan bersifat perkauman di atas nama komedi.
“Dalam apa juga situasi, perkauman tidak wajar dijadikan bahan jenaka.
“Kami menolak sekeras-kerasnya kebiadapan yang ditujukan kepada artis Australia dan mendesak agar pihak bertanggungjawab memadam video berkenaan serta membuat permohonan maaf,” tegas kelab peminat tersebut.