PETALING JAYA: Pelakon veteran, Rosnah Mat Aris, memaklumkan dia lebih berhati-hati dengan membuat penyimpanan wang sebagai persediaan berdepan sebarang perkara yang tidak diinginkan.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon itu ketika ditemui di majlis pelancaran filem Tiga Janda Melawan Dunia, di GSC One Utama, Damansara, baru-baru ini.
Menurut Rosnah, dia mengambil pengajaran sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan virus Covid-19 yang mana ramai kehilangan punca pendapat, terutama para pelakon termasuk dirinya yang tidak dapat meneruskan penggambaran.
Tambahnya, membuat simpanan adalah penting sebagai persediaan jika terpaksa dimasukkan ke hospital akibat sakit yang tidak dapat dielakkan.
“Saya masih boleh hidup dengan simpanan walau tiada penggambaran. Bila sudah terkena sekali, lebih baik berhati-hati. Walaupun tidak banyak, tetapi perlu menyimpan sedikit jika sakit.
“Jika makanan, kita boleh makan nasi dengan garam. Tetapi jika sakit sekarang, tambah pula terpaksa masuk ke hospital,” katanya.
Mengulas lanjut, Rosnah sekali lagi menegaskan perkara tersebut agar dapat menyimpan bagi kegunaan untuk kecemasan jika berlakunya kejadian yang tidak diduga.
“Semua itu perlukan wang. Tiada yang percuma lagi. Wang yang ada kita simpan untuk kecemasan terutama sewaktu sakit,” ujarnya. – UTUSAN