ALOR GAJAH: Penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah antara fokus utama akan diberi penekanan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 yang akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara tersebut harus diberikan tumpuan penuh oleh kerajaan kerana golongan tersebut adalah paling terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Beliau berkata, sekalipun negara sudah mengorak langkah ke fasa endemik 1 April lalu, namun golongan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya tekankan perkara ini dalam PPN 2.0 memandangkan golongan Bumiputera masih belum pulih ketika sektor ekonomi sudah berjalan seperti biasa. Yang berniaga kecil pun dah tak berniaga lagi, yang buat kilang pun sebahagian sudah tidak beroperasi sepenuhnya.
“Ini kerana mereka menghadapi masalah kewangan, masalah pekerja dan banyak lagi masalah yang dihadapi memerlukan kerajaan membantu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Alor Gajah di A’famosa Resort di sini, malam tadi.
Pada Mac lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, PPN 2.0 perlu bersifat luar biasa bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mantap di samping meletakkan kembali Malaysia di landasan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
Beliau mengesyorkan kerajaan supaya memulakan segera agenda PPN 2.0 yang mempunyai dasar dan strategi sesuai, berpaksikan pelaburan berkualiti, produktiviti tinggi serta penciptaan dan peluasan perdagangan.
Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, pada mesyuarat MPN akan datang, pihaknya akan melihat kesan Covid-19 terhadap sektor perusahaan kecil dan mikro Bumiputera.
Tegasnya, beliau percaya, kerajaan akan memberikan perhatian yang serius membantu golongan itu daripada segi kewangan iaitu modal aliran wang tunai dan perbankan.
“Kerajaan juga perlu membantu mendapatkan tenaga kerja, latihan dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN