MELAKA: Seorang lelaki terpaksa menjadikan perhentian bas di Taman Nirwana, Batang Tiga dekat sini sebagai tempat berteduh dan bermalam, sejak empat bulan lalu.
Zamri Mustafa, 30, yang tidak bekerja mengharapkan ihsan orang ramai yang datang membeli-belah di sebuah pasar raya berhampiran, di samping sumbangan penduduk taman.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, perhentian bas tersebut ditutup pada bahagian depan dan beralaskan karpet sebagai ganti tilam.
Kata Zamri, dia lebih selesa tinggal di situ, walaupun pandangan masyarakat melihatnya sebagai menjijikkan.
“Saya tidak mampu menyewa rumah kerana sukar untuk mendapat kerja. Dulu kerja sekejap bersih sampah selepas itu tidak lagi.
“Saya tumpang sementara di perhentian bas ini untuk saya dapat melepaskan penat dan bermalam.
“Orang ramai ingat saya penagih dadah tetapi sebenarnya tidak, cuma kehidupan saya miskin tidak ada wang nak dapat kerja pun susah,” katanya ketika ditemui.
Zamri menambah, dia sukar mencari pekerjaan kerana ada pihak yang enggan menerimanya kerana melihat keadaan diri tidak terurus dan hidup sebagai gelandangan.
Katanya, dia rela bekerja apa sahaja, walaupun menerima gaji kecil semata-mata ingin mencari rezeki halal.
“Saya berasal dari Batang Tiga dekat sini, keluar dari rumah ibu bapa selepas bertengkar dengan adik lelaki.
“Saya tidak diterima keluarga dan mula menjadi gelandangan dengan hidup berpindah-randah di sekitar Klebang,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE