Penunggang, pembonceng penyumbang terbanyak kematian di jalan raya - Utusan Malaysia

Penunggang, pembonceng penyumbang terbanyak kematian di jalan raya

AZMAN Nasrudin melepaskan kenderaan agensi kerajaan dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kedah di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Purata sebanyak 68 peratus kes kematian akibat nahas jalan raya di negeri ini  membabitkan penunggang dan pembonceng sekali gus menjadikan golongan tersebut berisiko ketika musim perayaan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Azman Nasrudin berkata, Kedah merekodkan sebanyak 406 kes kematian di jalan raya tahun lepas dengan tiga daerah menjadi hotspot iaitu Kota Setar sebanyak 61 kes, Kuala Muda (90 kes) dan Kulim (65 kes).

“Pelbagai faktor menyumbang kepada nahas dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal ini memandangkan ia merupakan kenderaan dua tayar. Jadi kita harap mereka akan berhati-hati.

“Dengan aliran trafik yang dijangka sesak apabila 1.4 juta kenderaan masuk ke Kedah, pengguna jalan raya harus mematuhi peraturan di jalan raya,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kedah di Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintenden Mohd. Mahiri Hussin.

Azman menambah, statistik di Kedah merekodkan sebanyak 18,414 kemalangan jalan raya pada tahun lepas.

“Selepas tiada lagi sekatan, kadar kemalangan jalan raya meningkat semua jadi kerajaan negeri berharap semua pengguna jalan raya mengawal perasaan balik kampung. Jalan Persekutuan dan negeri mencatatkan kemalangan paling tinggi berbanding di lebuh raya,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman pula berkata, JPJ Kedah meminta pengguna jalan raya supaya menjadi mata dan telinga agensi berkenaan dalam memantau mereka yang ingkar undang-undang sehingga mencetuskan kemalangan.

“Kita ada bilik gerakan dan semua boleh buat aduan. Boleh telefon atau ambil gambar dan adu kesalahan pengguna jalan raya ini kepada JPJ supaya kita ambil tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya