Penunggang motosikal EX5 berjaya keliling Semenanjung kurang 24 jam

Penunggang motosikal EX5 berjaya keliling Semenanjung kurang 24 jam

TANGKAP layar yang memaparkan ucapan tahniah atas kejayaan Aniq Izzfan kerana berjaya melengkapkan cabaran solo bermotosikal 24 jam mengelilingi Semenanjung Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lazimnya, program jelajah solo jarak jauh hanya disertai penunggang motosikal berkuasa tinggi bernilai puluhan ribu ringgit dan ada juga lebih mahal daripada harga kereta.

Namun, siapa sangka seorang penunggang penghantar makanan atau kebiasaannya disebut p-hailing berjaya mencipta rekod tersendiri walaupun cuma motosikal enjin kecil Honda EX5.

Lebih manis, anak muda yang hanya dikenali sebagai Aniq Izzfan itu melakar sejarah tersebut dalam tempoh kurang 24 jam sahaja dengan jarak keseluruhannya kira-kira 1,790 kilometer.

Berita itu tular setelah dikongsikan oleh akaun sosial popular tempatan, Kaki Restore dengan meraih lebih 39,000 tanda suka selain menerima hampir 1,700 komen dan dikongsi 1,300 kali.

Pentadbir laman ini memetik laporan disahkan penganjurnya sendiri, Iron Butt Malaya, sebuah badan bukan kerajaan di bawah Iron Butt Association (IBA) dan berpusat di Amerika Syarikat.

Organisasi global yang diasaskan sejak 1984 dan kini dianggotai lebih 75,000 individu di seluruh dunia itu sering menganjurkan cabaran bermotosikal dengan jarak minimum 1,600 kilometer.

“Inilah orangnya yang ‘ride’ pusing Semenanjung guna EX5 dalam masa 24 jam. Ramai cakap dia sembang kari tak percaya tapi kejayaanya telah diiktiraf penganjur dan Belut TV,” katanya.

Berdasarkan perkongsian laman itu, Aniq cuma berbelanja RM80 untuk kos minyak petrol tangki penuh selain ‘duit saku’ RM10 bagi bersahur dan berbuka puasa serta perkara kecemasan.

Dia memulakan perjalanan pada pukul 9.27 malam 8 April lalu dari sebuah stesen minyak di Senawang, Negeri Sembilan dan berakhir di lokasi yang sama keesokan pada pukul 8.51 malam.

Ini sekali gus menunjukkan lelaki ini hanya mengambil masa 23 jam 30 minit untuk menjelajah habis kesemua 11 buah negeri dan juga dua Wilayah Persekutuan di Semenanjung Malaysia.

Uniknya ujar laman itu lagi, dia cuma menunggang santai motosikal jenis kapcai yang berkuasa kurang 124 cc tersebut dengan purata kelajuan antara 90 hingga 100 kilometer sejam sahaja.

Perjalanannya direkodkan meliputi 13 laluan dengan yang pertama terus ke Arau, Perlis namun ada berhenti sekejap di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Dari bandar diraja negeri yang terkecil saiz di Malaysia itu, dia berehat seketika untuk sahur sebelum menyambung lagi penjelajahan berikutnya pula menuju ke Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Dia kemudian melalui Perak dengan cuma singgah sekejap sebelum ke Machang, Kelantan dan transit pula di mercu tanda terkenal Terengganu iaitu Jambatan Angkat di Kuala Terengganu.

Penjelajahan disambung ke Segamat, Johor dengan berhenti seketika di Pahang dan kemudian ke Plaza Tol PLUS di Pagoh, Johor sebelum akhirnya melalui Melaka kembali ke lokasi asal.

“Semoga jadi pembakar semangat kepada mereka yang baru hendak mencuba cabaran,” kata pentadbir akaun itu dengan turut memuat naik lapan foto dan peta laluan yang ditempuhi Aniq. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya