KUANTAN: Seorang penjual ayam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan wang palsu ketika menjalankan urusan di sebuah bank di daerah ini pada Isnin minggu lalu.
Tertuduh, Rohamad Mohamad Saaid, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Kafli Che Ali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rohamad didakwa menggunakan wang palsu sebagai wang tulen iaitu tujuh keping nota RM100 untuk kemasukan deposit ke akaun milik Hamidah Ismail.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh bapa seorang anak itu di Bank Simpanan Nasional (BSN) Indera Mahkota di sini, pukul 12.15 tengah hari, 18 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Rohamad yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan dia menyara isteri dan seorang anak.
Katanya, pendapatan diperoleh sekitar RM300 sehari dengan penjualan ayam.
“Atas alasan ini, saya memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap saya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes itu disebut semula 26 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – UTUSAN