JOHOR BAHRU: Orang ramai diminta terus berwaspada dengan sindiket penipuan secara dalam talian yang menggunakan emel perniagaan mahupun penyamaran sebagai kenalan melalui aplikasi media sosial seperti Telegram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, penipuan menggunakan emel perniagaan mengakibatkan kerugian sebanyak RM802,890 sejak 1 Januari hingga 27 April lalu.
Katanya, jumlah berkenaan bagaimanapun menurun berbanding kerugian bernilai RM3.4 juta yang direkodkan dalam tempoh sama, tahun lalu.
“Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan mengambil emell seperti emel sebenar rakan niaga mangsa dan mengarahkannya mereka membuat bayaran ke akaun bank lain.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan peniaga dan pemilik syarikat yang berkomited melalui emel diminta untuk lebih berhati-hati apabila menerima emel sedemikian rupa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas berhubung penipuan sindiket yang menyamar sebagai kenalan melalui aplikasi seperti Telegram pula, pihaknya merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM259,450 dalam tempoh sama bagi tahun ini.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menggodam akaun Telegram mangsa seterusnya menghubungi senarai rakan dengan gambar profile mangsa dan meminta bantuan wang.
“Walaupun trend bagi kedua-dua penipuan ini menunjukkan penurunan, namun kes sedemikian masih direkodkan berlaku sekali gus mengakibatkan kerugian kepada mangsa yang terlibat,” ujarnya. – UTUSAN