GEORGETOWN: Penggiat seni tanah air disarankan beralih daripada berpegang kepada konsep ‘seni untuk seni’ kepada konsep yang lebih murni seperti ‘seni untuk masyarakat kerana Allah’ seperti yang pernah disarankan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, mungkin ada yang berpandangan golongan agamawan tidak sepatutnya mengambil kisah tentang aktiviti seni sama ada dalam bentuk video atau audio.
“Mungkin ada yang berkata, para mufti, ustaz dan pendakwah perlu menumpukan perhatian kepada tugas hakiki berkaitan kerjaya masing-masing.
“Biarlah bidang seni dicurahkan oleh ahli-ahlinya sendiri, tidak payahlah orang lain masuk campur atau memandai-mandai memberi pandangan dan komen tentang aktiviti-aktiviti seni.
“Suka dinyatakan golongan agamawan adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang turut terkesan dengan segala peristiwa dan kejadian yang berlaku di dalam masyarakat,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, video muzik sempena Hari Raya Aidilfitri yang dimuat naik oleh usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri menerima kecaman daripada pelbagai pihak berikutan memaparkan unsur yang keterlaluan dan bertentangan dengan adab budaya masyarakat Islam negara ini.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, apabila klip video yang dimuat naik oleh seorang usahawan yang memaparkan beberapa penari lelaki berperawakan lembut dan bersolek seperti wanita, maka setiap warganegara berhak menyatakan perasaan masing-masing.
“Ini kerana aksi berkenaan tidak sesuai dengan adab dan budaya ketimuran yang masih dijunjung tinggi oleh majoriti masyarakat negara ini,” katanya.
Oleh itu tambah beliau, para penggiat seni tanah air diharap dapat turut cakna dengan hakikat majoriti rakyat masih berpegang kepada nilai-nilai akhlak murni dan membenci setiap kelakuan tidak senonoh ditonjolkan untuk tatapan umum. – UTUSAN