PONTIAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan membidas kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, cadangan tersebut tidak wajar ditimbulkan kerana Pengerusi BN biasanya adalah Presiden UMNO yang dipilih secara sah oleh perwakilan parti itu pada tahun 2018 yang lalu.
Malah, katanya, Pengarah Pilihan Raya yang juga Timbalan Presiden UMNO yang kini disandang oleh Datuk Seri Mohamad Hasan pula telah menjalankan peranannya dengan baik dan Annuar sepatutnya berterima kasih kepada dua pemimpin itu kerana berlapang dada memberi laluan kepada Ismail Sabri.
“Ketika ini hubungan terjalin dengan baik antara Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad yang menjaga parti serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menjaga kerajaan sejak Ogos tahun lalu.
“Apa salahnya tugas mereka berdua diteruskan. Presiden belum didapati bersalah oleh mahkamah dan proses perbicaraan masih berjalan, kita tidak boleh membuat kesimpulan beliau bersalah,” katanya selepas menghadiri program Satu Juzuk Satu Minggu (SJSM) al-Quran di Dewan Citra Sri Pinang, di sini, semalam.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam kenyataan semalam memberitahu, sudah tiba masanya Ismail Sabri diangkat sebagai Pengerusi BN dan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN menggantikan Mohamad.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sebagai bekas Setiausaha Agung UMNO, Annuar sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak menguntungkan parti.
“Ahmad Zahid dan Tok Mat (Mohamad) adalah pemimpin parti yang telah dipilih oleh perwakilan UMNO dan sewajarnya mereka berdua tidak diminta untuk meletak jawatan,” tegas beliau.
Katanya, adalah lebih baik semua pemimpin UMNO memberikan sokongan kepada langkah yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan tidak menimbulkan sebarang percanggahan.
“Seharusnya semua pihak perlu berlapang dada, ini merupakan satu dinamika politik baharu yang dilakukan oleh UMNO bagi memastikan UMNO dan BN bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mungkin lebih awal,” jelasnya.
MKT UMNO pada Khamis lalu telah memutuskan Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO dicalonkan sebagai Perdana Menteri atau ‘Poster Boy’ BN pada PRU-15 nanti. – UTUSAN