KEMAMAN: Keresahan lebih 300 keluarga di Perumahan Rantau Bukit di Kertih di sini susulan penemuan harimau kumbang di kawasan kediaman mereka sejak seminggu lalu, berakhir apabila haiwan liar itu ditangkap, semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, harimau kumbang betina yang dianggarkan berusia antara enam hingga tujuh tahun seberat kira-kira 40 kilogram itu memasuki perangkap kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya, perangkap itu dipasang Isnin lalu selepas menerima aduan daripada penduduk mengenai penemuan harimau berkeliaran di sekitar kawasan perumahan.
“Haiwan liar itu dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan dan kita akan memindahkannya ke hutan simpan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular beberapa video dalam laman sosial mengenai kemunculan harimau kumbang yang dikatakan berkeliaran di rumah penduduk dan kawasan padang.
Sementara itu, seorang penduduk, Noor Azlinda Saadon, 35, berkata, hatinya kini tenteram dan tidak lagi takut keluar pada waktu malam bagi menunaikan solat sunat tarawih di masjid berdekatan.
“Saya jadi takut untuk keluar malam kerana risau terserempak dengan harimau kumbang ketika perjalanan pergi dan balik dari masjid,” katanya. – UTUSAN