ALOR SETAR: Pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri memperlihatkan solidariti kepemimpinan tertinggi UMNO untuk membentuk satu pasukan yang kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, langkah itu juga diyakini membawa misi kestabilan politik demi kemakmuran negara dan rakyat.
“UMNO Alor Setar percaya dan yakin akan kemampuannya sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15 daripada rekod beliau dalam masa lapan bulan menerajui pentadbiran negara.
“Selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9 pada 20 Ogos tahun lepas, rakyat dapat melihat bagaimana usaha beliau dalam menstabilkan semula politik negara dengan mengadakan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan ahli Parlimen pembangkang sebagai langkah pertama dalam pentadbiran beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, selain itu idea Keluarga Malaysia yang diketengahkan beliau juga dilihat meredakan konflik antara kaum untuk mencapai kestabilan dan perpaduan sosial antara rakyat berbilang bangsa dalam negara.
“Dari segi ekonomi, pada 14 Februari lepas, Bank Negara Malaysia dan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) mensasarkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5 hingga 6 peratus berbanding 2021 hanya sekitar 3.6 peratus,” ujarnya.
Tegas beliau, faktor imej bersih dan tenang Ismail Sabri juga antara faktor pemilihan beliau sebagai calon Perdana Menteri dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) sangat tepat dalam mewujudkan persepsi yang baik untuk rakyat terhadap parti.
“Justeru UMNO Alor Setar menyokong penuh cadangan MKT UMNO untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi BN untuk PRU15 nanti,” katanya.
Katanya, bagi menghadapi PRU15 yang akan datang, BN perlu mengetengahkan calon Perdana Menteri yang dapat diyakini oleh rakyat bagi menerajui negara dalam proses pemulihan politik dan ekonomi yang jatuh teruk disebabkan konflik politik dan kesan akibat pandemik Covid-19.
Semalam, akhbar melaporkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadangkan pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada PRU15 nanti. – UTUSAN