ALOR SETAR: Penafian Pas terhadap kesahihan dokumen PasLeak sukar dipercayai memandangkan parti itu selama ini sememangnya mempunyai rekod menafikan kebenaran.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau sendiri ketika dalam Pas dulu pernah menanggung malu apabila terpaksa meminta maaf di atas ‘pembohongan’ yang tidak diketahuinya.
Mengimbau peristiwa ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi masih menjadi Perdana Menteri, Mahfuz berkata, beliau pada waktu itu berkali-kali bertanya kepada pimpinan Pas sama ada betul atau tidak dakwaan yang tersebar menyatakan pimpinan Pas dan UMNO mengadakan perbincangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan (UG).
“Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas dan pengerusi mesyuarat menafikan. Jadi saya sebagai Ketua Penerangan diminta membuat kenyataan menafikan segala gembar-gembur kononnya terdapat usaha melaksanakan UG pada masa itu.
“Namun sudahnya, Tun Abdullah sendiri membocorkan rahsia bahawa memang berlaku pertemuan antara pimpinan kedua-dua parti. Akhirnya saya terpaksa buat satu kenyataan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah berbohong kepada orang awam kononnya tiada pertemuan antara pemimpin Pas dan Tun Abdullah pada waktu itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama pengamal media di sini semalam.
Selain itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, situasi sama turut berlaku ketika isu membabitkan penularan audio suara Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membabitkan isu penerimaan dana daripada UMNO beberapa tahun lalu.
“Sewaktu audio itu mula tular, semua pimpinan Pas menafikannya. Tetapi pada akhirnya, Nik Abduh secara jujur mengakui bahawa audio yang tular itu adalah suaranya.
“Jadi macam itu jugalah dalam konteks PasLeak ini di mana mereka boleh menafikan, tetapi menafikan sesuatu itu bukan satu benda baharu dalam Pas. Dia sentiasa menafikan, semacam ‘ahlul nafi’,” katanya.
Dalam pada itu Mahfuz berkata, Pas dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam membuat penafian tersebut apabila hanya menafikan dalam media tanpa membuat sebarang laporan polis bagi membolehkan perkara itu disiasat.
“Penafian itu seolah-olah hanya ‘melepaskan batok di tangga’ sebab kalau betul ada orang lain reka dokumen itu, mereka boleh kerah Pemuda Pas buat laporan polis di seluruh negara macam isu-isu yang dibangkitkan mereka sebelum ini.
“Tetapi kini kita Pas nampak macam tak ada kesungguhan,” jelasnya. – UTUSAN