Pemilihan PKR: Rafizi cabar Saifuddin nyata pendirian - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR: Rafizi cabar Saifuddin nyata pendirian

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mohd. Rafizi Ramli mencabar saingannya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon-calon jawatan tertinggi yang lain memberi penjelasan mengenai pendirian mereka berhubung perkara mengenai hala tuju parti dan strategi gerak kerja.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, semua calon-calon yang bertanding kali ini perlu menjelaskan pendirian mereka mengenai dua perkara penting itu bagi memudahkan setiap anggota parti untuk membuat keputusan.

Katanya, dua perkara itu merangkumi hala tuju parti untuk tempoh setahun ke tiga tahun akan datang, terutamanya berhubung strategi masuk pilihan raya dan bentuk serta sumbangan gerak kerja setiap calon yang boleh melonjakkan peluang PKR menang dalam pilihanraya yang akan datang.

“Pendirian saya mengenai hala tuju parti adalah saya menggesa supaya PKR kembali kepada strategi asal yang telah memenangkan kita sebelum ini, iaitu meyakini rakyat. Kita mesti yakin bahawa apabila kita mengangkat suara rakyat, rakyat akan menghormati kita.

“Oleh itu, saya menolak sebarang usaha untuk mencari jalan singkat (sama ada melalui kerjasama politik, rundingan atau jajaran baru, di bawah apa-apa nama seperti ‘khemah besar’) dengan mana-mana pihak yang boleh melunturkan idealisme PKR. Saya yakin bahawa kuasa dan pengaruh kita datangnya dari rakyat, maka kita wajib akur dengan kehendak rakyat sepanjang masa.

“Bagi pendirian strategi gerak kerja pula, saya menggesa supaya PKR kembali kepada gerak kerja sebelum ini yang berbentuk serampang dua mata. Pertama, kita perlu agresif dalam melawan rasuah dan kelemahan pentadbiran kerajaan.

“Kedua, kita perlu kreatif dalam mengupas masalah masyarakat dan membentangkan penyelesaian alternatif untuk meyakinkan rakyat bahawa kita boleh mentadbir dengan lebih cekap, jujur dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Rafizi mendedahkan calon barisan dan pendiriannya pada Pemilihan PKR 2022 yang dijadualkan berlangsung Mei ini.

Justeru, atas dua pendekatan itu, beliau sependapat bersetuju supaya Nurul Izzah Anwar menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kempen Ayuh Malaysia untuk memenangi pengundi atas pagar di luar parti, sementara beberapa pimpinan yang lain membawa perubahan pendekatan di dalam parti.

“Saya bertanggungjawab memastikan kempen kami di dalam parti ada keserasian dengan kempen Ayuh Malaysia dengan pengundi. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haron bertanding jawatan Naib Presiden bersama-sama kami atas kebolehan beliau mendekati pengundi atas pagar dan prestasinya sebagai satu-satunya Menteri Besar Pakatan Harapan (yang menang selepas 2018) yang mampu mempertahankan negeri dari dikhianati.

“Tokoh-tokoh muda yang progresif iaitu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad;  Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, G. Manivannan bertanding sebagai calon Naib Presiden untuk menampilkan pimpinan yang agresif dan kreatif dalam melonjakkan parti.

“Gandingan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Bekas aktivis mahasiswa, Fahmi Zainol digandingkan masing-masing sebagai calon Ketua Wanita dan Ketua Angkatan Muda atas rekod mereka yang panjang sehingga mahir dan sebati dengan organisasi itu,” jelasnya.

Justeru, Mohd. Rafizi berkata, barisan tersebut merupakan barisan pemimpin PKR yang merupakan barisan pimpinan yang meyakini rakyat.

Katanya, mereka tidak percaya kepada sebarang strategi yang dirunding di bilik tertutup di kalangan bangsawan-bangsawan politik, tetapi yakin dengan kebijaksanaan rakyat yang akan memberi kemenangan kepada PKR jika benar-benar berjuang untuk anggota parti.

“Pemilihan kali ini akan menjadi pungutan suara di kalangan anggota biasa PKR untuk memutuskan sama ada beberapa kelompok yang terus mahu merundingkan pelbagai kerjasama dengan parti-parti lawan ini benar-benar ada mandat dari anggota parti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya