JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan membuka semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu khususnya Malaysia-Singapura memberi manfaat secara langsung kepada pemulihan ekonomi di bandar raya ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, hal itu kerana pembukaan sempadan berkenaan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap usaha pemulihan ekonomi setempat.
Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat apabila Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyaksikan peningkatan pungutan cukai hasil yang ketara sejak pembukaan semula sempadan.
“Walaupun sempadan baru sahaja dibuka, namun terdapat peningkatan dalam pungutan cukai hasil jika dibandingkan dengan situasinya sejak dua tahun lalu.
“Selain itu, MBJB juga menyaksikan peningkatan permohonan lesen perniagaan, membuktikan keyakinan masyarakat dengan usaha pemulihan ekonomi khususnya dalam negara memasuki fasa endemik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Bubur Lambuk Mega MBJB bersama Yayasan JDT di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar.
Keputusan kerajaan membuka semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu menyaksikan Tambak Johor yang merupakan sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia itu kembali ‘hidup’ dengan ribuan orang merentasi seni berkenaan setiap hari. – UTUSAN