Pemborong resah bekalan telur ayam kurang

Pemborong resah bekalan telur ayam kurang

MESKIPUN masih dijual pada harga kawalan, namun berlaku kekurangan ketara bekalan telur ayam di pasaran di Pulau Pinang sehingga memaksa pemborong mengehadkan pembelian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemborong telur ayam di negeri ini mula resah memikirkan tentang sumber bekalan itu yang dikatakan semakin berkurangan sejak minggu lalu sehingga tidak dapat memenuhi permintaan separuh daripada pelanggan tetapnya.

Seorang pemborong telur ayam di daerah Barat Daya yang mahu dikenali sebagai Zul, 42, berkata, dia perlu mengutamakan pelanggan tetap iaitu peniaga runcit, pasar awam, pasar raya dan pembuat kek dengan jumlah tempahan juga terpaksa dihadkan.

Menurutnya, dianggarkan seramai 50 pelanggan tetap sedia ada ketika ini memerlukan bekalan keperluan harian itu namun terpaksa menerima secara bergilir.

“Masalah kekurangan telur ayam Gred A, B, C dan D berlaku sejak minggu lalu dan lebih ketara pada minggu pertama Ramadan. Saya terpaksa mengutamakan pelanggan tetap daripada mereka yang membeli minimum hanya satu bekas.

“Pelanggan tetap pun hanya boleh menerima separuh daripada tempahan harian iaitu maksimum 15 bekas. Jika sebelum ini saya boleh menjual sehingga 3,000 bekas seminggu tetapi kali ini hanya mampu jual sebanyak 1,500 bekas.

“Perkara ini berlaku kemungkinan disebabkan bukan musim pengeraman telur ayam di ladang selain mendapat permintaan tinggi daripada pembuat kek dan biskut raya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Zul memberitahu, harga pasaran telur ayam ketika ini masih ditetapkan mengikut harga kawalan iaitu 43 sen bagi Gred A, 41 sen (Gred B) dan 39 sen (Gred C).

Sementara itu, seorang pengusaha kedai runcit di pasar awam daerah Barat Daya yang mahu dikenali sebagai Din, 45, memberitahu, berlaku kenaikan harga mendadak bagi produk makanan di dalam tin antara 10 hingga 20 peratus sejak minggu lalu.

“Kebanyakan produk tersebut sememangnya popular digunakan dalam penyediaan juadah seperti nasi tomato dan ayam masak merah, pembuatan kek dan biskut serta minuman berasaskan susu pekat dan cair.

“Kenaikan berlaku secara mendadak antara 30 sen hingga 50 sen menjelang Ramadan kali ini. Bukan itu sahaja, bekalannya juga payah diperoleh dan dihantar oleh pemborong.

“Melihat keadaan berlaku, mungkin ada pengeluar yang sengaja mengehadkan pengeluaran disebabkan permintaan tinggi ketika ini dan mahu naikkan lagi harga menjelang perayaan Aidilfitri,” ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam Bayan Baru, Sungai Ara dan Jelutong mendapati berlaku kenaikan tidak ketara bagi beberapa jenis sayur-sayuran seperti kacang buncis, cili merah, sawi iaitu melibatkan satu hingga 10 sen.

Bagi daging tempatan pula, harga yang dipamerkan adalah RM40 sekilogram manakala daging import RM20 sekilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya