JELEBU: Selepas tertangguh kira-kira empat tahun, pembinaan baharu Masjid Daerah Jelebu di sini dimulakan hari ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjelaskan, pembinaan masjid berkenaan sepatutnya bermula pada 2018 selepas mendapat kelulusan awal dari Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Oleh kerana beberapa perkara timbul termasuk pertukaran pentadbiran kerajaan serta peruntukan kerajaan yang tidak mencukupi, maka pembinaannya tertangguh bermula tahun 2018 sehingga ke hari ini.
“Tetapi selepas rundingan dijalankan, maka kerajaan hari ini melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan kelulusan bagi projek pembinaannya.
“Masjid Daerah Jelebu bernilai lebih RM8.8 juta ini memulakan pembinaan hari ini selepas proses tender dijalankan dan syarikat kontraktor juga telah dilantik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Baharu Masjid Daerah Jelebu, di sini hari ini.
Masjid yang dibina di atas tapak tanah seluas kira-kira dua hektar itu terletak berhampiran dengan Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu di Kuala Klawang di sini.
Dijangka dapat menampung kehadiran kira-kira 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa, apabila siap kelak, masjid tersebut turut menempatkan dewan keraian, pejabat dan bilik mesyuarat selain bilik pengurusan jenazah.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, pembinaan baharu masjid tersebut sangat penting berikutan keadaan Masjid Jamek Kuala Klawang sudah tidak lagi sesuai untuk menampung kehadiran jemaah yang semakin ramai.
“Masjid itu juga sudah lama, lagipun ia berada di atas bukit dan keadaan parkir di dalam kawasan masjid berkenaan tidak boleh lagi menampung jumlah kehadiran kenderaan.
“Keadaan sebegitu, dilihat tidak sesuai lagi bagi jemaah kariah di kawasan ini maka pembinaan masjid ini sangat diperlukan. Status dan kedudukan masjid lama itu nanti diputuskan oleh pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS),” katanya. – UTUSAN