Pembangunan ekonomi tidak harus jejaskan alam sekitar - PM - Utusan Malaysia

Pembangunan ekonomi tidak harus jejaskan alam sekitar – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar, manakala liputan kawasan hijau perlu dipertahankan. 

Perdana Menteri berkata, usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau sejajar dengan Fokus Kelapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Untuk itu, kata beliau, tindakan mempertingkatkan kemampanan tenaga dan mentransformasikan sektor air, harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara.

Menurut beliau, kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030, berdasarkan intensiti pelepasan 2005, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon. 

“Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi. 

“Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Bumi Sedunia yang disambut pada hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi meraikan sambutan hari berkenaan, beliau mengajak seluruh Keluarga Malaysia bersama menggembleng tenaga dan menyumbang masa membudayakan amalan kelestarian demi kelangsungan generasi akan datang. 

Beliau menjelaskan, amalan seperti menghindari penggunaan plastik sekali guna dan penjimatan sumber tenaga perlu dijadikan kebiasaan dalam kehidupan. 

Pada masa sama, beliau  mengajak sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk sama-sama memainkan peranan dalam usaha melestarikan alam sekitar. 

 “Saya mendoakan agar seluruh Keluarga Malaysia terus bersemangat memainkan peranan dan memikul tanggungjawab bagi mewariskan Malaysia yang lestari kepada generasi akan datang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya