Pemandu van didakwa  abai budak autisme hingga mati - Utusan Malaysia

Pemandu van didakwa  abai budak autisme hingga mati

MOHD. Nazree Uzir (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan pengabaian sehigga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan autisme pada bulan Oktober tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu van didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan autisme, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Nazree Uzir, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazree didakwa meninggalkan kanak-kanak dalam jagaan serta kawalan di dalam sebuah van jenis Kia Pergio miliknya sehingga mendatangkan kematian Nur Kasrena Darwisyah Mohd. Khairul yang berusia sembilan tahun.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan rumah di Jalan Nusari Bayu 5/1, Taman Nusari Bayu 2, Bandar Seri Sendayan di sini antara pukul 2.45 hingga 5.30 petang, 12 Oktober 2021. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a)  Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam prosiding kes tertuduh yang diwakili peguam, Noliana Ali Othman memohon jaminan paling rendah dikenakan ke atas anak guamnya yang memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

“Tertuduh menanggung seorang isteri dan dua orang anak dengan pendapatan sekitar RM2,500 sebelum ini. Bagaimanapun, berikutan kes ini tertuduh telah kehilangan pendapatan selain pernah direman selama lapan hari,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsio Tung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan kes disebut semula 9 Mei depan.

Pada 12 Oktober lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan autisme ditemui maut selepas dipercayai ditinggalkan selama tiga jam di dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan di sini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya