TAIPING: Seorang pemandu lori maut setelah muatan konkrit yang dibawa menimpanya setelah terlibat kemalangan di KM 220.4 Lebuhraya Utara Selatan, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Nor Azlan Ramli, 33, dari Kampung Bukit Kecik, Simpor, Sungai Petani, Kedah, maut di tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa memandu lori jenis Nissan membawa muatan konkrit dalam perjalanan dari Ipoh ke Pulau Pinang.
“Sampai di tempat kejadian kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.
“Kemalangan menyebabkan muatan batu konkrit yang dibawanya telah menimpanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Osman, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan oleh pegawai perubatan meninggal dunia ditempat kejadian.
“Pihak waris mangsa telah dimaklumkan dan lori berkenaan telah ditahan bagi pemeriksaan Puspakom.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya
Sementara itu, anggota dari Balai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Taiping mengambil masa lapan minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Jurucakapnya berkata, pihaknya menggunakan kren bagi mengangkat dan mengalihkan batu konkrit bagi mengeluarkan mangsa yang terhimpit konkrit. – UTUSAN