PUTRAJAYA: Pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor) dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi sangat digalakkan kerana ia mampu mengurangkan penularan jangkitan.
Perkara tersebut adalah protokol baharu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkuat kuasa pada 1 Mei ini berhubung fasa peralihan ke endemik.
Beliau berkata, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan berikutan mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan ventilasinya adalah baik.
“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam dan stadium.
“Selain itu, individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, individu berisiko tinggi serta melakukan aktiviti bersama orang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan (indoor), gedung beli-belah dan di dalam pengangkutan awam termasuk e-Hailing.
Menurutnya, penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka ini.
“Bagaimanapun pelitup muka boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat di dalam bangunan tetapi hendaklah segera dipakai semula setelah selesai melakukan senaman tersebut atau sekiranya berseorangan di dalam suatu ruang, sedang makan, minum, ketika sedang berucap atau membuat persembahan.
“Pemakaian pelitup muka terutamanya di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang sekeliling kita, terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu immunocompromised,” ujarnya. – UTUSAN