MELAKA: Sektor perhotelan di negeri ini kembali rancak dengan kedatangan pelancong dari Singapura yang mendominasi tempahan hotel hampir 50 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sambutan menggalakkan itu diterima sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.
Jelasnya, setakat ini hampir semua hotel di Melaka mempunyai jumlah pengembara Singapura yang tinggi, malah beberapa daripadanya mencecah sehingga 80 peratus.
“Sejak 1 April lalu, sektor perhotelan di Melaka kembali rancak kemasukan pengembara Singapura ke negeri ini dan lebih 40 peratus tempahan juga disumbangkan oleh mereka. Ada sesetengah hotel yang menjadi kegemaran pengembara Singapura pula boleh mencapai sehingga 80 peratus,” katanya pada sidang akhbar di Banda Hilir di sini, semalam.
Tambahnya, antara hotel yang menjadi tumpuan termasuklah Hotel Holiday Inn di Jalan Syed Abdul Aziz di sini.
“Holiday Inn sebagai contohnya, kita tahu ia menjadi hotel kegemaran pengembara Singapura, kalau dari Indonesia mereka lebih suka hotel dengan kadar harga pertengahan dan berdekatan pusat beli-belah.
“Kita dah boleh tahu corak pemilihan mereka, termasuk pelancong bukan Islam yang lebih memilih hotel berdekatan dengan bar dan sebagainya untuk beristirahat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammad Jailani memberitahu, jumlah pelancong kesihatan juga menunjukkan peningkatan dengan kapasiti pesakit di hospital swasta berada pada tahap memberangsangkan.
Katanya, bagaimanapun sektor itu berhadapan dengan isu kekurangan tenaga buruh untuk menggerakkan operasi pusat perubatan. – UTUSAN