PUTRAJAYA: Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) akan digubal bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu kesihatan manusia dan hubung kait dengan alam semula jadi, biodiversiti serta perubahan iklim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pandemik Covid-19 adalah salah satu penyakit zoonotik mengakibatkan 6.11 juta kematian di dunia.
Menurut beliau, terdapat penyakit-penyakit zoonotik lain seperti denggi dan zika yang juga berpunca daripada status keadaan alam semula jadi yang semakin terancam.
“Mesyuarat bersetuju agar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama daripada semua pemegang taruh untuk menggubal Pelan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama bagi tahun ini bagi membincangkan pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, struktur tadbir urus Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) ditambah baik menerusi Jawatankuasa Task Force NTIS yang diubah nama kepada Jawatankuasa Pemandu NTIS.
Kata beliau, inisiatif NTIS adalah bagi mempergiat pengkomersialan hasil inovasi tempatan yang berpaksikan kepada kemampanan sosioekonomi negara.
Bagi langkah penambahbaikan itu, Perdana Menteri berkata, Majlis NTIS juga dimansuhkan dan digantikan pelaporan kepada NSC yang akan dijadikan sebagai agenda tetap dalam mesyuarat NSC bagi mengurangkan pertindihan dengan majlis sedia ada.
“Ini memandangkan NSC turut dipengerusikan Perdana Menteri. Selain itu, Jawatankuasa Task Force NTIS baharu diwujudkan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya. – UTUSAN