KEMAMAN: Seorang pekerja pasar raya maut selepas motosikal yang ditunggangnya kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 137, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kijal, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa Nur Qasrina Abdul Kassim, 27, dari Kampung Baru Bukit Teruna, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan selepas tergelincir di bahu jalan yang baru diturap.
Katanya, ketika kejadian mangsa dan treler yang dipandu lelaki berusia 34 itu menghala ke arah sama ke Chukai.
“Mangsa terjatuh selepas motosikalnya terbabas masuk ke laluan treler sebelum dilanggar kenderaan berat berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Hanyan berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN