LANGKAWI: Pekebun kecil getah yang mempunyai masalah meningkat pengeluaran getah kerana kekurangan tenaga pekerja asing disaran menubuhkan koperasi supaya dapat diuruskan secara lebih berkesan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata, kebanyakan pekebun kecil getah tersebut tidak mempunyai kemampuan untuk meningkatkan pengeluaran berikutan kekurangan tenaga kerja tersebut.
Menurutnya, keadaan tersebut juga berlaku apabila kebanyakan pekebun kecil getah kekurangan modal menanggung kos pengambilan pekerja asing yang tinggi.
“Difahamkan dalam 500,000 permohonan pekerja asing kepada Kementerian Sumber Manusia, dalam 200,000 lebih adalah daripada industri pertanian dan agro komoditi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Hevea Malaysia Cawangan Langkawi (AHML) di Kuah, di sini hari ini.
Zuraida memberitahu, kebun kecil dan ladang getah akan dapat diurus dengan lebih teratur menerusi sumbangan peralatan yang bernilai tinggi oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Beliau berkata, pihaknya juga melaksanakan program Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (Target) bagi membina pusat pemprosesan getah sekerap untuk ditukar kepada getah krip bagi pekebun kecil.
Tambahnya, getah krip mempunyai harga yang lebih tinggi dan boleh meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
“Pekebun kecil sebelum ini biasa dapat RM1,500, jumlah itu akan meningkat menjadi lebih kurang RM2,000 hingga RM2,200 selepas getah sekerap ditukar kepada getah krip,” ujarnya. – UTUSAN