PUTRAJAYA: Semua cawangan Pos Malaysia dan Pusat Pos Laju di seluruh negara tidak beroperasi selama empat hari mulai 1 Mei ini sempena cuti umum panjang minggu depan.
Menurut hantaran Pos Malaysia Berhad dalam laman sosial rasminya, ia juga sebagai penghargaan dan tanda kasih kepada barisan hadapan Wira Pos yang telah gigih berkhidmat.
“Abang Posmen kami pun akan berehat seketika sempena dengan Hari Raya Puasa. Justeru marilah kita bersama keluarga tersayang tahun ini,” jelas makluman ringkas agensi tersebut.
Pos Malaysia Berhad turut menjelaskan bahawa semua penghantaran mel dan bungkusan secara pos atau kurier pula turut ‘berehat’ namun hanya tiga hari yang bermula pada 2 Mei ini.
Sehubungan itu ujarnya lagi, kesemua perkhidmatan agensi berkenaan termasuk premisnya akan dibuka untuk beroperasi seperti biasa semula kepada orang awam mulai 5 Mei ini.
Tarikh 1 Mei ini adalah kelepasan am bersempena Hari Pekerja tetapi dianjak keesokan kerana jatuh pada hari minggu manakala 2 dan 3 Mei pula dijangka Hari Raya Aidilfitri.
Pos Malaysia yang ditubuhkan ketika era kolonial pada tahun 1800, asalnya merupakan agensi awam sebelum dikorporatkan sepenuhnya sejak 1992 dan kini memiliki lebih 20,000 staf.
Ketika ini, syarikat tersebut memiliki sejumlah 692 buah pejabat pos, 159 cawangan pos mini, 71 agen pos bertauliah, 50 premis khas Pos Laju dan dua pusat perkhidmatan pos bersepadu.
Ia juga mempunyai lebih 3,000 peti surat sama ada di dalam dan luar pejabat pos serta ada berusia lebih 200 tahun dengan kebanyakannya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka. – UTUSAN