MELAKA: Dua rakan berdepan penjara 14 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memecah masuk rumah dan mencuri pelbagai barangan termasuk sebentuk cincin kahwin lelaki, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Adib Kassim, 32, dan Fais Yusoff, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah melakukan pecah rumah milik Mohd. Hamizzuri Huri, 48, untuk mencuri barangan berupa sebentuk cincin kahwin platinum lelaki, seutas gelang emas, rantai emas, jam tangan pelbagai jenama anggaran nilai RM5,000.
Tertuduh juga melarikan enam buah beg tangan pelbagai jenama anggaran RM8,000, satu beg sandang mengandungi wang campuran luar negara anggaran RM2,000, tiga kunci motosikal bersama cukai jalan dan minyak wangi anggaran RM700.
Selain itu, turut dilarikan adalah sebuah kereta Toyota Harrier serta barangan lain termasuk alat kawalan jauh pintu pagar, dompet mengandungi pelbagai kad, dua komputer riba, dua unit telefon, seunit tablet, serangkai kunci kereta dan kunci rumah dengan anggaran nilai keseluruhan kira-kira RM2,000.
Tindakan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.15 malam di Jalan M5 Taman Merak dalam daerah Melaka Tengah, 3 Mac lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Fiqri Hakim Zamri memohon agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Peguam Amrit Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya telah berkahwin dan masing-masing mempunyai anak kecil, selain Fais hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala Mohd. Adib pula jurujual.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang.
Mohamad Izwan turut mengenakan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri setiap minggu di balai polis berdekatan sehingga kes selesai sebelum menetapkan tarikh 19 Mei depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN