SEPANG: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menyifatkan dokumen sulit dikenali sebagai ‘PasLeak’ itu sebagai sampah.
Menurut Hamzah, beliau senada dengan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai dokumen itu.
“Saya ingin menafikan bahawa tiada sebarang perbincangan dalaman PN untuk menjatuhkan sesiapa termasuk beberapa pemimpin UMNO yang dikaitkan dengan dokumen itu.
“Saya Setiausaha Agung PN, saya tak tahu pun ada perkara ini. Jadi, betullah Dr. Samsuri kata itu dokumen sampah, kerana tiada perbincangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga KDN, hari ini.
Katanya, beliau boleh sahkan bahawa Dr. Ahmad Samsuri ada menemuinya, namun ia berkaitan perbincangan mengenai post mortem pilihan raya negeri (PRN).
Hamzah berkata, rakyat sepatutnya tidak ambil kisah mengenai dokumen itu kerana ia memang dokumen sampah.
Kelmarin, tular dalam media sosial beberapa keratan minit mesyuarat dan agenda parti Pas yang mana tercatat beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO serta BN ketika ini.
Beberapa nama pemimpin politik besar yang terlibat dalam plot menjatuhkan UMNO ketika ini yang mana melibatkan juga beberapa pemimpin kanan parti berkenaan.
Sebelum ini, Dr. Ahmad Samsuri dalam kenyataannya menganggap dokumen itu sebagai ‘sampah’ dan menzahirkan rasa hairan kerana ada pihak yang percaya bahawa dokumen tersebut sebagai sesuatu yang benar. – UTUSAN