Pas tidak terancam gerakan rampas Kelantan 

Pas tidak terancam gerakan rampas Kelantan 

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas tidak terancam dengan kewujudan apa sahaja gabungan baharu yang mahu menumbangkan parti itu di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin parti itu kekal berkuasa di negeri berkenaan sekali gus meneruskan pentadbiran yang dipimpin sejak lebih 30 tahun lalu. 

Katanya, terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengatur usaha menumbangkan Pas kerana parti itu tidak goyah, sebaliknya masih menjadi pilihan rakyat walaupun terpalit isu fitnah termasuk PasLeak. 

“Insya-Allah kita akan mempertahan Kelantan kerana ini bukan kali pertama menghadapinya dan pernah kalah pada tahun 60-an serta 70-an.

“Sehingga kini, setiap bulan kita menerima ahli baharu, tak kurang daripada 1,000 orang dan kadangkala antara 2,000 hingga 4,000 orang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Semalam, veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan bakal mengetuai gabungan kerjasama rentas parti yang dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan bagi menumbangkan kerajaan Pas pada PRU-15.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed yang sekali gus memaklumkan program pertama gabungan berkenaan akan diadakan pada 7 Mei depan.

Sementara itu, Abdul Hadi menyelar dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob kononnya pentadbiran Islam di negeri itu tidak sepenuhnya dan masih banyak ruang yang perlu ditambah baik. 

Katanya, persoalan berkenaan seharusnya dibangkitkan Ahli Parlimen Machang itu kepada kerajaan UMNO yang sebelum ini menguasai Pusat kerana menyekat pembayaran royalti kepada Kelantan hingga kini. 

“Semua benda kita tidak dapat nak buat sebab  tiada royalti, sedangkan dalam Perlembagaan negara ada konsep federalisme. 

“Makanya, kita nak buat pelaksanaan Islam pun terbatas, apa  yang kerajaan negeri boleh lakukan adalah mengharamkan judi dan arak di Kelantan, Terengganu serta Kedah selain hal-hal berkaitan bidang kuasa tanah dan dakwah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya