MARANG: Pas kekal dengan pendirian menyokong pendekatan perpaduan ummah sekali gus menolak kerjasama ‘khemah besar’ dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu enggan bersama dengan penghuni khemah besar yang diumpamakan sebagai tikus dan kucing yang boleh bercakaran antara satu lain.
“Pas ada kumpulan sendiri dan kita masih terus melaksanakan agenda perpaduan ummah.
“Kita tidak ikut khemah besar kerana di dalamnya ada tikus, kucing dan macam-macam. Kita bukan khemah, kita bawa agenda perpaduan ummah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Kelmarin, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, parti itu tidak akan menyertai khemah besar dianjurkan PH, meskipun ditawarkan untuk menyertainya.
Katanya, perkara itu sudah dibincangkan secara bersama dalam Perikatan Nasional (PN).
Pandangan itu senada dengan Abdul Hadi yang sebelum ini menegaskan hubungan kerjasama dengan PH sudah lama berakhir dan tidak akan sesekali berulang.
Sementara itu, Abdul Hadi membayangkan agenda perpaduan yang didukung Pas disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan golongan bukan Islam yang tidak esktrem. – UTUSAN