KOTA BHARU: Pas Kelantan tidak bimbang berdepan gabungan dibentuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
bagaimanapun, parti itu ‘hairan’ bagaimana Amanah dan PH ingin menggerakkan kerjasama tersebut kerana hanya melibatkan individu iaitu Tengku Razaleigh, bukan UMNO dan BN secara keseluruhan.
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, secara dasarnya, apabila parti ingin membentuk kerjasama politik, ia perlu diputuskan pucuk pimpinan tertinggi, bukan oleh individu.
“Siapa nak buat kerjasama itu terpulang, tetapi keputusan mesti dibuat parti. Jarang berlaku individu buat kerjasama tanpa keputusan rasmi parti. Pas masih ada kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
“Kita selalu sebut, orang Islam wajib bersatu. Pendirian Pas, bukan sekadar bersatu sesama Islam, bahkan dengan yang bukan Islam tidak ekstrim pun kita ajak bersatu dalam Keluarga Malaysia.
“Kalau ada orang lain dengan matlamat berbeza, itu terpulanglah. Dia kata nak tawan Kelantan, kita pula kata nak pertahan, itu perkara biasa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, beliau meraikan pengamal media Kelantan yang bernaung di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN). Yang hadir sama Presiden Kemudi, Majidah Ismail. – UTUSAN