Orang Asli Kampung Simoi Lama bimbang ancaman gajah liar

Orang Asli Kampung Simoi Lama bimbang ancaman gajah liar

KIRA-KIRA 200 penduduk perkampungan Orang Asli Simoi Lama, Pos Lenjang bimbang dengan keselamatan mereka selepas sekumpulan gajah liar berkeliaran dan memusnahkan tanaman mereka sejak tiga bulan lalu di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kira-kira 200 penduduk daripada 30 keluarga perkampungan Orang Asli Simoi Lama, Pos Lenjang di sini, bimbang dengan keselamatan mereka selepas sekumpulan empat ekor gajah liar berkeliaran dan memusnahkan tanaman mereka sejak tiga bulan lalu.

Orang Asli dari etnik Semai dan Temiang itu tidak tahan lagi dengan ancaman gajah liar ini menyebabkan aktiviti tanaman kebun terganggu dan bekalan makanan mereka semakin susut.

Tok Batin kampung berkenaan, Bah Jong Kerang, 60, berkata, masalah penduduk berlaku sejak awal tahun ini dan aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan tetapi masalah masih berlaku.

Menurutnya, haiwan terbabit memusnahkan tanaman penduduk seperti ubi kayu, pokok pisang, getah dan kelapa sawit tanpa mengira waktu mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

“Penduduk bimbang keselamatan diri dan keluarga dan takut keluar rumah untuk bekerja di kebun. Jika berterusan penduduk boleh kelaparan.

“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah diberitahu tetapi tiada tindakan berkesan dilakukan menghalang gajah masuk kawasan kampung. Takkan orang lain kenyang tetapi kami kena berlapar.

“Saya merupakan Tok Batin kampung ini, takkan orang lain tidak mahu dengar cakap saya. Saya merayu segera diambil tindakan menghalau atau menangkap gajah berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bah Jong menegaskan, penduduk semakin berputus asa untuk bercucuk tanam berikutan hasil tanaman terlebih dahulu menjadi makanan gajah.

Menurutnya, ekoran ancaman gajah liar, ada ketua keluarga tidak tidur sampai ke pagi bagi mengawasi kehadiran gajah yang berani masuk kawasan kampung.

“Kumpulan gajah liar ini sentiasa berkeliaran di kawasan berdekatan kediaman penduduk antara pukul 1 pagi dan 5 pagi menyebabkan ada antara kami terpaksa berjaga malam kerana bimbang rumah turut dimusnahkan haiwan ini.

“Sejak kebelakangan ini, gangguan gajah liar semakin menjadi-jadi berikutan kawasan habitat spesies itu hutan rimba semakin mengecil,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya berharap Perhilitan akan segera bertindak kerana aduan berhubung ancaman haiwan liar tersebut telah pun dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN