Operasi sindiket dadah di sebalik perniagaan pakaian terpakai - Utusan Malaysia

Operasi sindiket dadah di sebalik perniagaan pakaian terpakai

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN melihat antara dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan ke atas satu sindiket pengedaran syabu dan ganja ketika sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja melibatkan nilai hampir RM1 juta yang berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai  berjaya dibongkar hasil serbuan polis di premis kedai tiga tingkat di Bukit Mertajam dekat sini.

Dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) pada 25 dan 27 April lalu itu,  enam ahli sindiket  termasuk seorang wanita Indonesia turut ditahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di daerah SPT dan polis berjaya menemukan satu bungkusan syabu seberat kira-kira satu kilogram (kg) bernilai RM37,980.

Menurut beliau, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang bekerja sebagai mekanik.

Kata Shuhaily, penahanan suspek pertama itu membawa kepada dua lagi serbuan di premis perniagaan di SPT yang mana dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun serta seorang wanita Indonesia berusia 24 tahun ditahan.

“Turut dirampas bersama mereka adalah satu bungkusan syabu seberat 666.6 gram bernilai RM23,997.50; 14 bungkusan syabu seberat 14.37 kg bernilai RM517,140 dan lima bungkusan ganja seberat 4.9 kg bernilai RM12,160,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut beliau, serbuan keempat di sebuah lagi premis di SPT pula berjaya menahan dua lagi ahli sindiket iaitu lelaki tempatan berusia 53 dan 55 tahun.

 

Bungkusan syabu

Turut dirampas bersama mereka katanya, adalah satu bungkusan syabu seberat 621 gram bernilai RM22,356 dan dua peket plastik ganja seberat 41 gram (RM10.50).

Jelas beliau, hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek kemudiannya membongkar premis perniagaan pakaian terpakai yang turut dijadikan stor penyimpanan dadah yang mana polis menemukan sebanyak 144 bungkusan ketulan mampat ganja seberat 146.25 kg bernilai RM365,625.

“Siasatan mendapati sindiket ini mula aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak Januari lalu dan jumlah dadah yang dirampas itu jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh seramai 385,848 penagih.

“Selain rampasan dadah, kita turut menyita tiga buah kenderaan bernilai RM45,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM1.024 juta,” katanya.

Tambah beliau, hasil saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methampethamine; morfin dan THC manakala lima daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Sementara itu katanya,  kesemua tangkapan ditahan reman tujuh hari bermula 25 April lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya