Operasi Khas Pagar Laut perangi jenayah rentas sempadan musim Aidilfitri - Utusan Malaysia

Operasi Khas Pagar Laut perangi jenayah rentas sempadan musim Aidilfitri

MOHD. Zawawi Abdullah menyampaikan sumbangan bungkusan keperluan makanan asas kepada komuniti maritim di perairan Langkawi, Langkawi semalam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seramai 113 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis akan bertugas memerangi jenayah rentas sempadan menerusi Operasi Khas Pagar Laut pada musim cuti perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, sempadan perairan negara akan dikawal ketat dengan mengoptimumkan pengoperasian aset di laut pada bulan Ramadan dan Syawal sepanjang operasi tersebut yang bermula pada 19 April lalu hingga 17 Mei nanti.

“Pada Operasi Khas Pagar menjelang musim perayaan, Maritim Malaysia di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran akan memberi fokus kepada aktiviti penyeludupan barang larangan seperti mercun dan bunga api serta dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bungkusan keperluan makanan asas kepada komuniti maritim di sekitar perairan Langkawi, di sini, semalam.

Zawawi menyatakan, sembilan aset laut termasuk kapal dan bot ditugaskan untuk melakukan rondaan dan pengawasan sepanjang Ramadan dan Syawal di sekitar perairan Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Pulau Langkawi.

“Maritim Malaysia juga akan memastikan anggota didedahkan dengan pelbagai modus operandi yang selalu digunakan penyeludup,” jelasnya.

Selain itu beliau memberitahu, penggunaan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) juga membantu mengesan modus operandi yang digunakan penyeludup bagi mengekang aktiviti penyeludupan pada operasi itu.

“Penyaluran maklumat yang berkesan antara SWASLA dan aset-aset yang bertugas di laut akan memainkan peranan penting bagi mengekang aktiviti penyeludupan,” jelasnya.

Tambahnya, Operasi Khas Pagar Laut yang dilaksanakan setiap tahun sejak 2016 merekodkan sebanyak 2,783 pemeriksaan pada 2020 dan 2021, termasuk 42 kes tangkapan yang melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM12.8 juta.

Katanya, pada tahun ini, Maritim Malaysia melakukan 522 pemeriksaan di seluruh kawasan perairan Kedah dan Perlis yang melibatkan tiga tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sebanyak RM563,100. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya