BUTTERWORTH: Pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) yang tular ketika melintas jalan di persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Bagan Luar, di sini baru-baru ini dengan menggunakan kerusi roda terharu apabila mendapat sumbangan sebuah kereta oleh penceramah terkenal, Ebit Lew.
Mohd. Sofi Osman, 38, ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia dan isteri, Siti Aminah Jamalludin, 30, berterima kasih kepada pihak Ebit Lew yang begitu prihatin dalam membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
“Memang tak sangka ustaz (Ebit) datang dengan anak buah (pasukan), kira-kira tiga buah kereta datang rumah semata-mata nak bantu kami.
“Dengan adanya kereta ini mudahlah kami nak bergerak ke mana-mana. Rasa terharu dan syukur sangat. Mungkin ini yang dikatakan berkat bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, melalui perkongsian Ebit Lew di Facebook rasminya semalam menyatakan pihaknya terpanggil menghadiahkan sebuah kenderaan kepada pasangan tersebut bagi memudahkan urusan pergerakan mereka seharian.
“Sebak syukur baru selesai hadiahkan Proton Saga BLM buat suami yang viral tolak isteri dengan kerusi roda di lampu isyarat (dekat) Bagan Dalam.
“Pasangan suami isteri ini ada kad OKU. Sedih tengok suami isteri ni. Ujian mereka,” katanya.
Menceritakan detik pertemuan mereka semalam, Ebit berkata pasangan tersebut tidak menyangka kehadirannya sekali gus membeli kereta tersebut secara tunai untuk meringankan beban suami isteri tersebut.
“Menangis gembira kakak ni. Kenal saya. Terkejut dan tak sangka sampai ke sini. Kakak terkejut tak sampai sejam selesai dapat kereta baru. Bayar tunai dekat kedai. Pemilik kedai pun baik. Berkat Ramadan kedua,” katanya lagi.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan seorang wanita yang merupakan OKU cacat kaki dan tangan serta suaminya cekal menjalani kehidupan dengan hanya berkerusi roda untuk ke satu-satu destinasi.
Kisah pasangan itu tular apabila seorang pengguna media sosial TikTok merakam detik Mohd. Sofi menolak kerusi roda yang dinaiki Siti Aminah bersama anak perempuan mereka ketika dalam keadaan cuaca panas terik di persimpangan lampu isyarat dekat Bagan Luar, di sini baru-baru ini telah mengundang rasa simpati warganet. – UTUSAN