PETALING JAYA: Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Merican yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memohon mana-mana pihak agar dapat membantu kos pembinaan sebuah sekolah agama di sempadan Kemboja-Vietnam iaitu Sekolah Darul Iman.
Katanya, terdapat banyak kekurangan di sekolah tersebut termasuk kipas, tandas, tempat duduk serta ketiadaan lantai bersimen bagi kemudahan para pelajar.
Menurutnya, sebelum pembinaan sekolah tersebut para pelajar lelaki berusia enam hingga 13 tahun dan pelajar perempuan berusia tujuh sehingga 15 tahun telah menggunakan sebuah masjid sebagai tempat belajar iaitu Masjid Al Mansoriah, namun kini masjid berkenaan digunakan bagi murid tadika.
“Sekolah ini dibina pada tahun 2019, disebabkan pandemik Covid-19 pada 2020, mengakibatkan projek pembinaan sekolah berkenaan terhenti disebabkan tidak ada penyumbang.
“Sekolah ini mempunyai tiga bilik darjah dan satu bilik rehat guru. Setiap bilik darjah boleh menampung lebih 40 pelajar, dan dengan pembinaan tiga bilik darjah ia dijangka boleh menampung 120 pelajar dalam sesuatu masa.
Katanya, memandangkan keadaan sekolah yang masih belum siap pembinaan, itu mengakibatkan para pelajar terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan.
“Untuk itu saya berharap penderma Malaysia sedia membantu dan menyalur sumbangan melalui NGO Antarabangsa, supaya memudahkan penghantaran bantuan berkenaan.
“Diharap ada penderma yang sudi menderma bagi kepentingan pendidikan Islam untuk kepentingan ummah sejagat. Mereka yang sudi boleh menghubungi NGO Antarabangsa bagi tujuan pengesahan,” katanya.
Menurutnya, sasaran bagi melengkapkan fasiliti di sekolah tersebut dianggarkan berjumlah AS$20 ribu, dan penyumbang boleh menghubungi beliau di talian 017-9797408 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN