BAYAN LEPAS: Kira-kira 300 nelayan pantai di Teluk Kumbar di sini, bimbang terputus mata pencarian berikutan masalah pencemaran laut yang semakin serius berlaku di perairan itu, ketika ini.
Kejadian tersebut yang berlaku sejak lebih lima tahun lalu ini menyebabkan ikan, udang, ketam, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama mereka diancam kepupusan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya difahamkan pencemaran itu disebabkan pembuangan sisa kotoran dari penduduk di beberapa buah kampung dan taman perumahan di kawasan tersebut.
Jelas beliau, penduduk memaklumkan bahan kotoran tersebut dibuang ke dalam sungai di sini dan terus ke laut yang mana airnya bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk.
“Sejak ancaman pencemaran itu berlaku hidupan laut dan hasil tangkapan nelayan di sini semakin berkurangan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
“Nelayan turut kesal walaupun masalah itu sudah lama berlaku, namun tidak ada tindakan bagi mengatasinya diambil oleh pihak berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, perairan 100 meter dari pantai Teluk Kumbar turut tercemar dengan sisa kotoran dan sampah sarap dan bahan itu yang terdampar di tepi pantai dibawa arus menyebabkan kawasan tersebut berbau busuk dan tidak menyenangkan.
“CAP merasa bimbang dengan kejadian itu. Jika dibiarkan sungai serta laut di situ akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.
“Para nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di kawasan tersebut akan kehilangan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Mohideen, CAP menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan secara menyeluruh punca kejadian itu dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
“CAP meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil kepada orang ramai khususnya nelayan-nelayan yang terlibat dengan masalah ini dengan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN