KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan tidak menolak sekiranya dia dan bekas kekasih yang juga pelakon, Wani Kayrie ditakdirkan untuk berkawan semula.
Namun, kata Afieq dia berserah pada takdir dan mengutamakan keluarga terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk berteman istimewa.
“Kalau tertulis untuk kami jumpa balik, saya okey. Tak ada masalah. Saya hanya berserah pada takdir.
“Yang penting keluarga. Kalau mereka boleh terima, saya okey,” katanya.
Afieq berkata demikian ketika hadir pada majlis buka puasa anjuran FMC Music bertempat di Hotel Tenera, baru-baru ini.
Tambah Afieq lagi, buat masa ini dia hanya selesa berkawan dengan sesiapa sahaja dan belum bersedia untuk memiliki teman istimewa.
“Peluang kedua itu ada. Tetapi bagi saya pulih dahulu.
“Kekecewaan lepas belum terubat lagi,” ujarnya ringkas.
Dalam pada itu Afieq menegaskan dia dan Wani kekal bersahabat buat masa ini.
“Saya dah tutup buku. Tetapi kami masih berkawan. Manusia melakukan kesilapan, begitu juga saya.
“Saya dah jelaskan kepada dia kesilapan masing-masing. Dia terima. Dan saya yang putuskan untuk kami berkawan sahaja,” ujarnya.
Disoal tentang penglibatan orang ketiga sebagai punca keretakan hubungan mereka, Afieq tampil memberi jawapan.
“Terserah. Kalau nak cakap kacau daun, daun saya pun kena kacau.
“Pada saya, kesilapan yang dilakukan berat. Saya tak boleh terima. Sebab itu saya ambil langkah untuk berkawan sahaja,” tambahnya.
Afieq dan Wani yang rapat sejak empat tahun lalu itu merahsiakan hubungan mereka daripada pengetahuan umum.
Namun percintaan mereka terlerai ditengah jalan sekitar dua tahun lepas.