Najis haiwan dalam gudang pasar raya - Utusan Malaysia

Najis haiwan dalam gudang pasar raya

MUHAMAD AKMAL Saleh menunjukkan najis haiwan yang dikambus menggunakan beras dan dibiarkan kering di gudang pasar raya di Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sebuah gudang pasar raya di sini diarahkan tutup serta-merta selepas dikesan menyimpan stok bekalan makanan bersama longgokan najis haiwan yang dibiarkan kering dan menjijikkan.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi tadi, pasar raya tersebut turut dikesan menyimpan ayam dan ikan busuk yang dibekukan, selain makanan telah tamat tarikh luput pada 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, serbuan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dilakukan selepas mendapat aduan daripada penduduk berhubung kualiti dan kebersihan produk dijual.

Katanya, hasil pemeriksaan, kesemua pegawai penguat kuasa JKN turut terkejut dengan penemuan longgokan najis haiwan dipercayai kucing, selain ayam dan ikan busuk yang disimpan di tempat makanan sejuk beku.

“Hari ini kami semua amat terkejut dan kecewa dengan pihak pasar raya ini kerana sanggup menjual pelbagai produk makanan yang rosak serta menyimpan stok bekalan dalam keadaan kotor bersama-sama najis haiwan.

“Kesalahan ini sangat melampau dan kita telah arahkan gudang penyimpanan tersebut ditutup serta-merta sehingga kita berpuas hati dengan tahap kebersihan premis ini,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan Op Raya 22 bersama Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman.

Muhamad Akmal berkata, kesalahan itu adalah disengajakan pemilik premis kerana najis haiwan itu tidak dibersihkan, sebaliknya hanya dikambus menggunakan beras dan dibiarkan kering.

“Kesalahan ini tiada kompromi, kita akan ambil tindakan serius dan setakat ini sebanyak tiga kompaun bernilai RM9,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis. Sebanyak 279 barang bernilai RM1,949.79 turut disita atas kesalahan tamat tarikh luput, pelabelan, makanan rosak dan pembungkusan,” jelasnya.

Tambahnya, tindakan itu dibuat mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Muhamad Akmal berkata, pasar raya berkenaan telah beroperasi sejak 2014 dan terkenal di kawasan setempat kerana menawarkan harga rendah berbanding pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya