Najib terus popular di sebalik pendakwaan dihadapinya   - Utusan Malaysia

Najib terus popular di sebalik pendakwaan dihadapinya  

SHAHRIL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal popular dengan jenama ‘Bosku’ disebabkan ramai bersimpati dan empati dengan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadapnya.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, hal itu terjadi ekoran ramai pihak terpegun dengan ketabahannya berdepan pelbagai tuduhan dan juga dakwaan termasuk di mahkamah.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu, tindakan undang-undang itu dilihat agak keterlaluan atau ‘overkill’ sehingga menimbulkan rasa kesian, simpati dan empati terhadap nasibnya.

“Selain itu, halaman Facebook beliau telah membawa pandangan dan penjelasan tanpa sebarang sekatan atau suntingan seperti yang sering berlaku di media arus perdana.

“Orang ramai mengikuti Facebook beliau kerana fakta dan hujahan yang munasabah sehingga ia lebih berkesan daripada bercakap dalam Dewan Rakyat. Walaupun Parlimen adalah institusi tertinggi demokrasi, tetapi banyak pihak boleh berpakat untuk memperlekeh hujahan beliau.

“Sebaliknya di Facebook, ia bergantung pada jumlah yang bersetuju dengan  fakta dan asas hujahan. Fakta dan hujahan berasas itu yang membuat Najib terus popular dan berpengaruh,” katanya dalam entri di Facebooknya, di sini hari ini.

Manfaat

Shahril berkata, selain daripada itu masih ramai pihak yang menerima manfaat sepanjang pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri yang dirasakan jauh lebih baik berbanding ketika ini.

“Mereka tahu masa itu lebih baik berbanding selepas Pilihan Raya Umum ke-14, malahan sehingga kini masih terpakai lagi konsep bantuan bersasar mengikut kumpulan sosioekonomi B40, M40 atau T20.

“Projek Pusat Transformasi Bandar (UTC) masih menjadi tumpuan, Klinik 1Malaysia dan Pusat Komputer 1Malaysia masih dirindui. Terlalu banyak peninggalan Najib yang bermanfaat kepada rakyat sehingga kini, sebab itu ramai yang mengenang jasanya,” ujarnya.

Shahrir yang juga bekas menteri Kabinet itu turut mengakui pengaruh dimiliki Najib amat membantu usaha pemulihan Barisan Nasional (BN) khususnya di peringkat akar umbi.

“Pendirian beliau yang tetap bersama UMNO dan BN bukan sahaja membantu malahan menjadi inspirasi kepada ahli-ahli parti apabila melihat seorang pemimpin yang sedang dilanyak begitu hebat tapi tetap bersemangat mempertahankan parti.

“Tidak sepatah pun meminta pertolongan daripada parti tetapi tetap menolong parti,” katanya sambil turut memaklumkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah disebabkan kegagalan mereka sendiri dan bukannya disebabkan konspirasi politik UMNO.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya