PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menyatakan kesediaan menyahut cabaran debat daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu kewangan Sapura Energy.
Cabaran bekas Perdana Menteri itu disahut Ketua Pembangkang menerusi pantun pendekar Melayu, bagi menunjukkan keberaniannya untuk bersemuka mengenai isu tersebut.
“Tuan Puteri pergi ke Lukut, bawa pulang kacang panjang, sedikit pun hamba tak takut, kalau berani turun gelanggang.
“Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Datuk Seri Najib Razak,” kata Presiden PK itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anwar, beliau pernah mencabar Najib mengenai isu sama lebih 10 tahun lalu namun langsung tidak disahut.
“Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran serupa kepada beliau tapi tidak bersahut.
“Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut bail-out Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela,” katanya.
Semalam, Najib dilaporkan bersedia untuk berdebat dengan Rafizi R mengenai isu Sapura, dengan syarat perdebatan itu turut disertai Anwar.
“Rafizi nak debat isu Sapura? Boleh. Tapi panggil bos kamu Anwar Ibrahim debat dengan saya. Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia.
“Two versus one, no problem,” kata Najib.-UTUSAN