KUALA LUMPUR: Sistem daftar masuk MySejahtera disifatkan masih relevan bagi tujuan pengesanan jangkitan Covid-19 buat masa ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini berdasarkan kepada data yang diperoleh ketika varian Omicron berada di tahap kemuncak bulan lalu.
“Ketika di puncak gelombang kes Omicron, kita dapati dalam kalangan yang kontak kasual, 45 peratus adalah positif dan mereka mengambil langkah untuk kuarantin.
“Jadi, nak kata sistem pengesanan MySejahtera tak relevan, itu saya tak berapa setuju. Mereka ini berjaya diasingkan melalui sistem pengesanan. Jadi masih ada nilai satu alat pengesanan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, Khairy mengakui pihaknya sedang memantau keperluan sistem pengesanan MySejahtera di masa akan datang.
“Memandangkan kita sudah melepasi puncak gelombang Omicron, kita sedang pantau pattern jangkitan Covid-19 dan kita akan buat keputusan seminggu dua lagi mengenai imbasan masuk MySejahtera.
“Sama ada kita tak perlukan lagi pengesan mikro, sama ada kita berani untuk membuat keputusan itu, itu akan dibuat, insya-Allah,” katanya.
Beliau juga mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kebocoran data dari MySejahtera setakat ini.
Khairy juga berkata, walaupun MySejahtera tidak tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010, beliau memberi jaminan aplikasi itu mematuhi semua keperluan yang diperlukan kepada akta tersebut. – UTUSAN