PASIR PUTEH: Seramai 300 murid termasuk 28 anak yatim Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Pak Esah di sini, ceria apabila menerima sumbangan wang raya, wang zakat dan buah kurma, baru-baru ini.
Guru Besar sekolah itu, Azmi Kassim berkata, ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membenarkan aktiviti yang berteraskan agama dijalankan terutama program Ihya Ramadan yang sekian lama tidak dijalankan sepanjang pandemik Covid-19.

Menurutnya, majlis khatam al-Quran melibatkan 29 guru dan murid Tahap dua juga berjaya diadakan beramai-ramai.
“Sebagaimana sebelum pandemik Covid-19, aktiviti hafazan, kuiz spontan, mewarna dan melukis kad raya berjaya memeriahkan sekolah setiap Ramadan.
“Paling menggembirakan murid ialah agihan wang raya dan kota buah kurma yang akan dibawa balik ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di SK Banggol Pak Esah.
Yang hadir sama memeriahkan majlis ialah Pegawai Sektor Pendidikan, Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh, Zulkefli Awang. – UTUSAN