Muhyiddin, beberapa ahli Parlimen hanya alih perhatian isu sebenar - Shahril Hamdan - Utusan Malaysia

Muhyiddin, beberapa ahli Parlimen hanya alih perhatian isu sebenar – Shahril Hamdan

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa ahli Parlimen lain hanyalah bersifat ‘tabir asap’ dalam perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat, semalam.

Shahril berkata, ini kerana motif yang disampaikan di Parlimen hanya untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang berleluasa pada penggal kali ini.

“Dalam perbahasan Mesyuarat Khas Parlimen itu, beberapa ahli dewan termasuk Ahli Parlimen Pagoh (itu) melontarkan tidak semua wakil rakyat yang sengaja keluar mahupun dipecat dari parti harus dilucutkan jawatan sebagai Yang Berhormat. Hujahnya, mungkin ada sesuatu senario atau ketika di mana alasan untuk beralih parti ialah berlandaskan prinsip atau situasi khas tertentu.

“Semua pertimbangan ini boleh diperincikan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas yang diwakili Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, dalam menentukan apa definisi lompat yang hendak ‘dihukum’ dan apa pengecualian-pengecualian yang hendak dipertimbangkan jika ada.

“Namun, kita perlu tanya apa sebab Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ini menjadi topik hangat sekarang? Kenapa yang terkedepan memperjuangkan ‘pengecualian’ ini ialah ketua parti yang selama empat tahun cuba membina pengaruh dan kuasa melalui lompatan?” Soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Shahril, rata-rata mereka yang melompat selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) itu bukannya melompat atas semangat prinsip.

Sebaliknya beliau berkata, begitu ramai yang menang atas tiket rumah asal dan jentera rumah asal, rumah asal mereka bersifat pembangkang, maka mereka tidak sanggup kekal bersama dengan pemimpin dan ahli membina semula rumah itu.

Malah, Shahril juga tidak menolak pujukan tertentu terlalu menarik buat mereka itu sehingga sanggup melompat beramai-ramai dan lebih teruk apabila menarik sebahagian kecil penyokong bersama.

“Mustahil sebelum 9 Mei 2018 mereka percaya perjuangan parti, tapi 10 Mei 2018 terus was-was. Bukan juga mereka dipecat dan dipaksa pilih rumah lain. Tetapi semata-mata tak sanggup jadi Yang Berhormat pembangkang.

“Istilah yang sesuai menggambarkan adegan-adegan lompat penggal ini bukan ‘berprinsip’, tetapi ‘khianat’.

“Fenomena inilah yang menjadi punca orang ramai bercakap tentang anti lompat parti. Fenomena ini jugalah yang menyebabkan RUU Anti Lompat Parti ini hendak dibentangkan pun,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kekhuatiran yang diutarakan dalam perbahasan di Parlimen semalam hanya dianggap di luar konteks sebenar yang sudah berlaku beberapa tahun kebelakangan.

Katanya, ini kerana negara hendak menjamin suatu undang-undang dan pindaan Perlembagaan yang adil dan bertahan untuk suatu ketika yang lama, maka eloklah diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas terlebih dahulu sebelum ke Dewan Rakyat semula.

“Tetapi sambil itu sedang berlaku, usahlah pihak yang menjadi pemain utama dalam adegan lompat dalam penggal Parlimen ini cuba mengeliru atau menutup cerita sebenar kenapa RUU Anti Lompat Parti menjadi isu sekarang. Sedangkan sebelum ini selama 60 lebih tahun isu ini tidak berbangkit besar pun.

“Isu lompat berleluasa penggal ini, bukan sebelumnya. Bukan sebab ‘katak berprinsip’. Bukan sebab parti asal mereka lari dari landasan. Bukan sebab dipecat. Bukan sebab kepentingan rakyat atau moral. Tetapi sebab kepentingan peribadi. Itu yang hendak dibendung. Itu punca RUU ini dibentang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya