PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mahu membawa Pengiktirafan Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL) ke peringkat global bagi mempromosikan jenama APEL Malaysia melalui penubuhan Pusat Penilaian APEL di luar negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, inisiatif itu akan dijalankan melalui seminar dan bengkel yang melibatkan peserta luar negara.
Katanya, MQA juga merancang untuk membuka APEL.A kepada pelajar antarabangsa dan bagi mempromosi serta memudahkan akses kepada APEL, pihaknya membenarkan institusi pengajian tinggi (IPT) yang layak menjadi pusat penilaian APEL bagi tujuan kemasukan pelajar secara dalaman melalui penilaian APEL dengan kelulusan MQA.
“Kami juga sudah membangunkan aplikasi APEL.A yang telah dilancarkan tahun lalu bagi memastikan capaian kepada APEL.A oleh calon yang memohon menjadi lebih mudah.
“Semua inisiatif ini akan memperluaskan lagi akses calon pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Hari Terbuka APEL di Mercu MQA, dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti, Muhamad Amran Zainal Abidin dan Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Abdul Razak Mohamed.
Pada sesi yang dijalankan secara langsung menerusi YouTube rasmi MQA itu, taklimat mengenai APEL turut dijalankan yang disampaikan oleh Ketua Unit APEL, Pusat Pendidikan Profesional & Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia, Dr Amirul Faiz Osman (APEL.A); Ketua Unit APEL Institute of Continuing Education and Professional Studies (iCEPS) Universiti Teknologi MARA, Dr. Hamidah Mohd Ismail (APEL.C) dan Pengarah, Pusat APEL, Open University Malaysia, Dr. Mohamad Afzhan Khan Mohamad Khalil. Rakaman sesi berkenaan boleh ditonton semula di YouTube MQA.
Selain itu, slot perkongsian pengalaman Inpirasi Bersama Ikon APEL turut diadakan yang menampilkan Eizaz Azhar (Ikon APEL merangkap graduan APEL.A Tahap 7) sebagai moderator, bersama tiga Ikon APEL lain yang juga graduan APEL.A iaitu Dewi Liana Seriestha, Norrazita Baharum dan Suzana Abu Bakar.
Sehingga hari ini, tiga jenis APEL sudah diperkenalkan oleh MQA iaitu APEL.A untuk akses kemasukan ke IPT, APEL.C bagi pemindahan kredit dan APEL.Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman individu. – UTUSAN