JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat hampir pasti dinamakan sebagai Speaker baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15.
Turut disebut-sebut sebagai Timbalan Speaker DUN pula ialah ADUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali yang ketika ini Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.
Mohd. Puad, 64, antara pemimpin politik senior di Johor yang lebih banyak diperkatakan untuk dilantik ke jawatan berkenaan berbanding calon lain seperti bekas ADUN Rengit, Ayub Jamil dan ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan.
Bekas Timbalan Menteri Pelajaran dan Ahli Parlimen Batu Pahat itu juga turut menghadiri sesi raptai bagi upacara mengangkat sumpah ADUN-ADUN dan pelantikan Speaker serta Timbalan Speaker di Bangunan Sultan Ismail, kelmarin.
Bagaimanapun, melihat situasi semasa yang berlaku di negeri itu sejak pelantikan Menteri Besar pada Mac lalu, ramai pemerhati politik mengambil sikap tunggu dan lihat kerana mereka mengandaikan macam-macam perkara boleh berlaku termasuk pertukaran saat akhir.
Malah, Samsolbari, 61, ketika dihubungi Utusan Malaysia juga berkata, beliau belum menerima apa-apa surat berhubung kononnya akan dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Johor yang baharu.
“Saya tidak tahu, kita tunggu sahajalah esok kalau nama saya atau sesiapa sahaja disebut sebagai Speaker atau Timbalan Speaker kita pergi ke depan (angkat sumpah) tetapi setakat ini memang saya tidak pasti perkara itu,” katanya ringkas sambil meminta mendoakan yang terbaik untuknya.
Sementara itu, usaha mendapatkan komen Mohd. Puad tidak berhasil apabila panggilan telefon terhadap beliau tidak dijawab sehingga petang semalam.
Sebelum ini, sejak era pentadbiran Tan Sri Abdul Ghani Othman sebagai Menteri Besar Johor, pelantikan Speaker dibuat dalam kalangan bukan wakil rakyat bermula dengan Datuk Ali Hassan, Tan Sri Mohamad Aziz dan Suhaizan Kaiat.
Amalan itu dipercayai bagi mengelak kerajaan kekurangan satu undi penting sekiranya terdapat sebarang usul dikemukakan yang memerlukan sokongan majoriti dewan.
Namun, melihat pencapaian selesa Barisan Nasional (BN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, hampir pasti jawatan itu akan kembali disandang oleh ADUN kerajaan yang menang pilihan raya berkenaan.-UTUSAN